LENGGONG – Wanita Malaysia yang hidup sebatang kara di Lombok, Indonesia bersyukur dapat menyambut Ramadan di tanah air sendiri setelah 18 tahun ‘tersangkut’ hidup di negara jiran.
Norida Akmal Ayob, 45, mengikuti bekas suaminya warga Indonesia ke negara jiran tersebut pada 2008 dengan membawa anak sulung mereka pada waktu itu berusia dua tahun.
“Perasaan saya yang akan menyambut Ramadan di kampung halaman sangat gembira kerana dapat bersama keluarga setelah sekian lama saya hidup di Lombok,” katanya di Lenggong, kelmarin.
Kisahnya mencuri perhatian masyarakat ekoran kepayahan hidupnya yang tidak dapat pulang ke Malaysia disebabkan kekangan kewangan, selain dakwaan bahawa wanita itu dihalang daripada berbuat demikian.
Usaha gigih bertahun-tahun ahli keluarganya di Kampung Bukit Sapi, Lenggong di Perak Malaysia yang berusaha mengesan Norida akhirnya membuahkan hasil dan dibantu oleh Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri.
Norida yang sering dipanggil mak cik di Lombok, menjejakkan kaki semula di Malaysia pada Sabtu lalu bersama anak perempuannya yang kini sudah berusia 20 tahun.
Ditanya apakah terdapat wanita lain yang senasib dengannya, dia berkata ada namun sebab utama keadaan itu berlaku adalah kerana faktor kewangan kerana memerlukan perbelanjaan yang tinggi untuk pulang ke Malaysia.
“Faktor utama yang menyebabkan kekal di sana adalah sumber untuk mendapatkan wang amat sulit,” katanya yang turut memberitahu dia tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai keadaan tersebut.
Norida mengibaratkan hidupnya umpama ‘keluar dari kandang harimau’ apabila dapat kembali ke Malaysia.
Sepanjang hidupnya di Lombok, dirinya hidup miskin dan hanya mengharapkan pendapatan sebagai pekerja perniagaan kecil-kecilan.
“Saya dan anak bergelut dan berdepan masalah kewangan. Malah, mengharapkan simpati penduduk setempat untuk hidup,” katanya.
Beliau masih mempunyai seorang lagi anak lelaki di Indonesia yang tidak dapat mengikutnya pulang ke Malaysia kerana anaknya itu berstatus warga Indonesia, dan tidak menolak kemungkinan kembali ke Lombok untuk melihat anaknya itu.
“Kemungkinan besar saya akan ke sana lagi kerana saya mempunyai anak lelaki yang lahir di sana. Selain itu untuk mengunjungi kenalan yang banyak membantu saya memberi tempat dan pekerjaan setelah saya diceraikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














