PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri pagi ini.
MetMalaysia dalam hantaran di Facebook memaklumkan, antara negeri terlibat ialah Perak membabitkan kawasan Kerian, Larut, Matang dan Selama, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk serta Hilir Perak.
Amaran sama turut melibatkan Kelantan (Jeli, Tanah Merah dan Machang), Terengganu (Hulu Terengganu) manakala Pahang di (Jerantut, Temerloh, Maran, Kuantan dan Pekan).
“Turut terlibat di Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang), Negeri Sembilan (Jempol dan Tampin), Melaka serta Johor (Tangkak, Segamat dan Muar),” katanya.
Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi satu jam. – KOSMO! ONLINE












