PETALING JAYA – Hantaran poster ucapan Selamat Tahun Baharu Cina di Facebook rasmi Hospital Sri Aman, Sarawak mendapat perhatian ramai sejak semalam.
Rata-rata pengguna media sosial tersebut terkesima dengan keanggunan Pengarahnya, Dr. Hazwani Mohd. Yusop.
Dalam hantaran tersebut, Dr. Hazwani mewakili Hospital Sri Aman mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Cina yang meraikannya.
“Semoga perayaan ini disambut dengan penuh makna bersama keluarga dan insan tersayang dalam suasana yang aman dan sejahtera,” katanya.
Di ruangan komen, selain ucapan Tahun Baharu Cina, ramai yang memuji kecantikan Dr. Hazwani, malah ada juga berseloroh mahu mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.
“Ramai yang sakit nak jumpa pengarah,” kata seorang pengikut Facebook.
“Kenapa saya tiba-tiba sakit,” kata seorang pengguna lain.
Dalam masa sama, ada pengguna Facebook menegur perbuatan mereka yang meninggalkan komen gurauan tersebut dan meminta supaya menghormati pegawai tersebut. – KOSMO! ONLINE














