KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina MCA 2026 di Wisma MCA di sini, pagi ini.
Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir, bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Acara bermula dengan menggaul Yee Sang oleh Perdana Menteri bersama tetamu yang lain, seterusnya persembahan nyanyian bertemakan Tahun Baharu Cina.
Sementara itu, Anwar pada ucapan ringkasnya berkata, sambutan Tahun Baharu Cina kali ini menunjukkan perpaduan antara rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
“Saya datang untuk sama-sama meraikan raya Cina dianjurkan MCA, ini bukan satu kumpulan sahaja, tapi sambutan semua rakyat.
“Saya lihat sambutan baik menunjukkan perpaduan kita. Saya hanya nak ucap tahun kuda ini, memacu pertumbuhan lebih hebat. Kuda simbol kencang kekuatan tenaga yang hebat menunjukkan mudah-mudahan prestasi ekonomi dan rakyat Malaysia jauh lebih baik,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE














