JEMPOL – Tiga beranak yang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Rompin, di sini petang tadi berdepan detik cemas apabila terbabit kemalangan ketika mengelak sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard di Jalan Bahau-Rompin petang tadi.
Kejadian berkenaan menjadi tular di media sosial menerusi video berdurasi 33 saat sehingga mengundang pelbagai reaksi dari orang ramai.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Norhisham Mustapar, kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu melibatkan kereta jenis Perodua Myvi dinaiki tiga beranak berkenaan serta sebuah Toyota Alphard.
“Bagaimanapun, sehingga pukul 6.30 petang tadi, kita hanya menerima laporan dari mangsa Perodua Myvi yang terlibat. Dalam kejadian ini, pemandu bersama isterinya berusia lingkungan 20an dan anak lelaki berusia tiga tahun dalam perjalanan dari Bahau ke Rompin selepas membeli kelengkapan perayaan.
“Kereta Perodua Myvi berkenaan telah terbabas ke sebelah kiri jalan kerana mengelak MPV berkenaan. Selepas kemalangan tersebut, MPV terbabit terus beredar dari tempat kejadian.
“Pemandu kereta tidak mengalami kecederaan, namun isterinya mengadu sakit di bahagian tangan, sementara anak mereka pula luka di dahi dan pipi. Kesemua yang cedera dirawat sebagai pesakit luar sahaja,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.
Terdahulu, video tular memaparkan MPV dari arah bertentangan tiba-tiba berada dalam keadaan melintang di laluan kereta sehingga menyebabkan kereta mengelak ke kiri jalan.- KOSMO! ONLINE














