SETIU – Penduduk Kampung Padang Saujana di sini hidup dalam ketakutan selepas kemunculan seekor beruang matahari yang aktif berkeliaran di kampung itu sejak sebulan lalu.
Haiwan liar tersebut dikatakan bukan sahaja mencuri minyak masak terpakai, malah memakan ayam dan membunuh beruk serta kera.
Seorang penduduk, Rohana Mohamad, 56, berkata, lima ekor ayam dalam reban miliknya ‘hilang’ dipercayai menjadi makanan beruang matahari tersebut pada waktu malam. “Tidak cukup itu, botol berisi minyak masak terpakai yang diletakkan di luar rumah juga lesap dipercayai dicuri haiwan sama,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Selain itu, haiwan peliharaan jiran-jiran Rohani turut mati dimakan haiwan tersebut sejak sebulan lalu.
Seorang lagi penduduk, Nurul Sariaah Amaran, 38, mendakwa, beruk peliharaan keluarganya mati dengan kecederaan parah pada bahagian perut dipercayai angkara beruang matahari.
“Kami percaya ia disebabkan perbuatan beruang matahari berikutan penemuan kesan cakaran pada pokok,” katanya.
Beruang matahari itu dikatakan makin mengganas dan turut memasuki dua kampung bersebelahan iaitu Kampung Saujana dan Kampung Beris Tokku.
Oleh itu penduduk menggesa tindakan segera daripada pihak berkaitan untuk menangkap haiwan liar tersebut sebelum kedatangan bulan Ramadan.
“Kami bimbang hendak keluar rumah terutama pada waktu malam untuk menunaikan solat tarawih sekiranya haiwan tersebut masih belum ditangkap,” katanya. -KOSMO! ONLINE














