fbpx
TUDOR memiliki reputasi sebagai ‘pakar pemulihan’ menyebabkan Spurs melantiknya untuk memulihkan semula prestasi pasukan itu. - AFP

EPL: Tiga tugas utama Tudor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LONDON – Tottenham Hotspur mengesahkan pelantikan Igor Tudor sebagai pengendali interim hingga hujung musim ketika kelab itu berdepan ancaman penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pengendali Croatia berusia 47 tahun itu menggantikan Thomas Frank yang dipecat selepas prestasi merudum menyaksikan Spurs terperosok di tangga ke-16 dan hanya lima mata dari zon penyingkiran.

Tudor menyifatkan pelantikan tersebut sebagai tanggungjawab besar dalam detik kritikal buat kelab London itu.

“Ia satu penghormatan untuk menyertai kelab ini pada saat penting. Fokus saya jelas untuk membawa konsistensi dan meningkatkan keputusan dengan segera,” katanya.

Menurut Tudor, skuad Spurs memiliki kualiti mencukupi untuk bangkit jika organisasi permainan diperkemaskan dan tenaga baharu disuntik dalam pasukan.

“Terdapat kualiti besar dalam skuad ini. Tugas saya adalah menyusun semula pasukan, memberi tenaga dan memastikan kami bersaing dengan keyakinan dalam setiap perlawanan,” jelasnya.

Pengurusan Spurs memilih pendekatan jurulatih sementara bagi memberi ruang menilai calon tetap menjelang musim panas dengan nama Mauricio Pochettino antara yang dikaitkan untuk kembali mengemudi pasukan.

Reputasi Tudor sebagai ‘pakar pemulihan’ menjadi sandaran selepas kejayaannya memperbaiki prestasi kelab seperti Juventus dan Lazio ketika mengambil alih di pertengahan musim.

Bagaimanapun, pelantikan itu turut mengundang kebimbangan penyokong berikutan ketiadaan pengalaman Tudor dalam EPL selain risiko penyingkiran pertama Spurs sejak 1977.

Cabaran awal Tudor juga cukup getir apabila kelab itu dijadual membuat penampilan sulung dalam derbi London Utara menentang Arsenal selain berdepan masalah kecederaan beberapa pemain utama. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN