KUALA TERENGGANU – Gara-gara takut selepas digertak kononnya membuat tuntutan palsu oleh ‘scammer’, seorang wanita warga emas terpaksa menanggung kerugian berjumlah RM578,595.
Pesara berusia 61 tahun itu turut menggadai barangan kemas miliknya untuk diserahkan kepada suspek sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 3.31 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asistan Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, kejadian bermula apabila wanita itu dihubungi individu tidak dikenali pada pukul 6.30 petang, 21 November lalu.
“Mangsa yang gelabah selepas didakwa membuat tuntutan palsu berkaitan pembedahan tulang belakang berjumlah RM68,000.
“Mangsa menafikan dakwaan itu sebelum talian disambung kepada individu lain kononnya pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya,” katanya di sini hari ini.
Azli berkata, mangsa makin panik apabila didakwa MyKad miliknya disalahgunakan bukan sahaja untuk tuntutan palsu malah aktiviti pengubahan wang haram.
Beliau berkata, wanita itu kemudian mengikut arahan suspek supaya mendedahkan butiran peribadi dan perbankan, melapor diri kepada suspek lima kali sehari dan menggadai barangan kemas miliknya.
“Wang jualan barangan kemas dan simpanan mangsa termasuk Tabung Haji dikumpul ke dalam satu akaun sejak November dan Disember lalu. Dia hanya menyedari menjadi mangsa ‘scammer’ apabila tidak dapat mengeluarkan wang dari tersebut baru-baru ini.
“Semakan dengan pihak bank mendapati ia disekat ekoran pengeluaran dalam jumlah besar sebanyak RM578,595 sebelum itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE














