JAKARTA – Seorang datuk berusia 70 tahun di Polewali Mandar, wilayah Sulawesi Barat tidak mampu menahan tangisan apabila duit tabung yang dikumpul berjumlah 15 juta rupiah (RM3,500) hangus dalam kebakaran di rumahnya, lapor laman berita Detik semalam.
Lelaki bernama Rasil itu tinggal berseorangan di rumahnya di Kampung Patampanua dan bekerja sebagai petani.
Menurutnya, dia sudah mengumpul wang itu bertahun-tahun untuk digunakan bagi rawatan penyakitnya.
Namun, bahagian dapur rumahnya terbakar Jumaat lalu, menyebabkan duit tabungnya hangus terbakar.
Dalam satu video tular, Rasil dlihat duduk di tangga rumahnya sambil menangis di hadapan sisa wang yang hangus.
“Wang ini saya kumpulkan untuk merawat penyakit yang tidak menentu,” katanya.
Beberapa jiran turut membantu mengutip sisa wang berjumlah 15 juta rupiah, namun ada yang sudah menjadi abu.
Sementara itu, Ketua Kampung Patampanua, Yusuf berkata, pemerintah setempat sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan akan memberikan bantuan kepada Rasil. – AGENSI














