KUALA LANGAT – Cemburu dipercayai menjadi pencetus utama tragedi seorang wanita warga Indonesia ditemukan maut dengan kesan jerutan di kawasan kebun pisang sekitar Banting di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi berkata, seorang daripada dua suspek lelaki warga negara sama yang ditahan merupakan suami kepada mangsa berusia 30-an itu.
“Siasatan awal mendapati hubungan antara suspek dan mangsa adalah pasangan suami dan isteri. Motif kejadian itu dipercayai berpunca akibat cemburu,” katanya petang ini.
Tambah beliau, dua suspek berusia 30 hingga 50-an itu yang merupakan tukang kebun kemudiannya berjaya diberkas dalam tempoh kurang 24 jam selepas penemuan mayat itu dan kini direman tujuh hari.
Kosmo! semalam melaporkan polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan orang awam berhubung penemuan mayat mangsa, kira-kira pukul 11.07 pagi. – KOSMO! ONLINE














