fbpx
Marsila Yuhaini (tiga kanan) bergambar bersama keluarga ketiga kanak-kanak yang menjalani pembedahan pemindahan hati di China selepas tiba di KLIA hari ini.FOTO - FAIZ ALIF ZUBIR/KOSMO!

Sebulan di China, tiga kanak-kanak jalani pemindahan hati tiba di tanah air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Tiga kanak-kanak yang menjalani pembedahan pemindahan hati di China sejak lebih sebulan lalu selamat tiba di tanah air hari ini.

Ketiga kanak-kanak itu ialah Hawa Maisarah Mohamed Abdul Muiz yhang berusia setahun lima bulan, Athalia Feodora Augustine, 4, dan Helena Mohamad Haziq, 5.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia, Marsila Yuhaini Bahruddin berkata, ketiga-tiga pembedahan itu dilakukan di sebuah hospital kerajaan di China yang mempunyai kepakaran dalam bidang pemindahan organ.

“Alhamdulillah, mereka menunjukkan perkembangan yang sangat baik dan dibenarkan pulang selepas mendapat kelulusan doktor pakar,” katanya ketika ditemui di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini hari ini.

Menurutnya, Hawa Maisarah dari Kelantan yang menjalani pemindahan hati dan pembedahan pankreas pada 6 Januari lalu mencatatkan bacaan fungsi hati normal selepas komplikasi kebocoran pankreas berjaya dirawat.

“Athalia dari Bintulu, Sarawak pula menghidap Biliary Atresia dan menjalani pemindahan hati pada 14 Januari lalu. Kanak-kanak itu kini sudah kembali aktif.

“Helena dari Selangor yang menghidap Sindrom Alagille pula selamat dibedah pada 16 Januari lepas dan menunjukkan fungsi hati normal meskipun masih memerlukan pemantauan lanjut bagi masalah ascites,” katanya.

Marsila berkata, keseluruhan dana digunakan bagi tiga kanak-kanak tersebut berjumlah RM200,000 yang merupakan hasil sumbangan orang ramai selain bantuan pelbagai yayasan.

“Dana itu digunakan sebaik mungkin bagi memastikan rawatan berjalan dengan lancar. Jika ada lebihan, kita akan salurkan kepada anak-anak lain yang lebih kritikal,” katanya.

Beliau berkata, sebaik tiba di Malaysia, kesemua pesakit akan menjalani rawatan susulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI