KUALA LUMPUR – Tidak kira daripada kalangan peniaga sedia ada sekadar bermusim, kegiatan ramai orang tanpa mengira status mengambil kesempatan berniaga sepanjang bulan Ramadan datang lagi.
Mencuba perkara baharu, pelakon Sophia Albarakbah juga bakal berniaga di bazar Ramadan dengan menjual air kelapa pandan asli pada bulan puasa nanti.
Menurut Sophia, perniagaan tersebut akan dijalankan bersama kakaknya bermula hari ketiga puasa di bazar Ramadan di Stadium Merdeka.
“Istimewanya tahun ini ialah saya dan kakak akan menjual air kelapa pandan yang memang asli dari buah kelapa pada bulan Ramadan nanti. Kalau tiada penggambaran, saya akan ke bazar itu bantu kakak.
“Saya memang suka air kelapa sebab kurang gemar minuman yang terlalu manis dan bergula.
“Selalunya di bazar biasanya air kelapa dijual dalam balang dah letak gula dan ais, tetapi kami jual terus dari buah, lebih sihat kalau minum terus dari buah kelapa,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang media kempen Jwanjih Kenyang TV3 di sini, baru-baru ini.
Katanya, dia juga mahu menyebarkan kesedaran kepada orang ramai untuk memilih minuman lebih sihat dan diyakini bersih.
“Kadang-kadang saya sendiri skeptikal tentang kebersihan ais tu. Jadi air kelapa kami lebih sihat, elektrolit semula jadi.
“Saya juga nak galakkan orang kurangkan gula,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia terbuka menerima sebarang kritikan daripada orang ramai mengenai minuman yang akan dijual.
“Kami akan berlapang dada terima setiap maklum balas daripada pembeli, itu yang penting sebenarnya.
“Seboleh-bolehnya nak berikan servis terbaik. Saya meniaga kali ini sebab memang sangat minat air kelapa,” ujarnya.
Pelakon drama Suamiku Lelaki Pendosa itu menambah, air kelapa merupakan salah satu minuman kegemarannya selain mengamalkan pengambilan air kosong.
“Mana-mana yang kenal memang tahu saya suka air mineral atau air kosong saja.
“Kalau minuman berperisa pula, saya penggemar air kelapa dan suka teh, semua jenis perisa,” kongsinya. – KOSMO! ONLINE














