fbpx
GUEHI meledak satu gol ketika membantu kemenangan City sekali gus menjadi gol pertamanya bersama pasukan itu. - AFP

Piala FA: Man. City mara, Guardiola kecewa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola tidak berasa gembira dengan kejayaan pasukannya mara ke pusingan kelima Piala FA selepas berjaya menundukkan Salford City 2-0 kelmarin.

Kebimbangan Guardiola itu berpunca daripada kualiti permainan yang ditampilkan para pemainnya yang dianggap tidak berada pada standard ditetapkan selain mereka mampu untuk menang dengan jaringan lebih meyakinkan.

“Kami tidak mampu mencari ruang yang sepatutnya kami lakukan. Ruang ketika melakukan serangan adalah bergantung bagaimana pasukan lawan melakukan tugasan bertahan, namun kami tidak dapat melakukannya dengan baik.

“Satu-satunya perkara yang bagus buat kami daripada perlawanan ini adalah untuk melihat pasukan layak ke pusingan seterusnya. Hanya itu yang kami raih, selebihnya saya tidak dapat melihat perkara positif dilakukan oleh pemain,” katanya.

Selepas Alfie Dorrington menjaringkan gol sendiri, pertahanan baharu The Citizens, Marc Guehi berjaya membuka akaun jaringan sulungnya bersama City sekali gus mengesahkan kemenangan pasukan.

Pengurus dari Sepanyol itu menjelaskan tiada apa yang harus dibanggakan kerana satu-satunya perkara positif yang boleh diraikan adalah kemaraan ke pusingan seterusnya namun enggan menjadikan faktor keletihan sebagai alasan utama.

“Adalah bagus untuk saya katakan, daripada aspek mental kami memang keletihan namun inilah tugas kami. Kami perlu lakukan apa yang sepatutnya kami lakukan mengikut kalendar perlawanan musim ini,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN