LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Arne Slot memuji persembahan yang dipamerkan bintang sensasinya, Mohamed Salah yang turut meledak gol ketika menewaskan Brighton 3-0 pada aksi pusingan keempat Piala FA di Anfield awal pagi semalam.
Salah melengkapkan malam cemerlang Liverpool dengan menyempurnakan sepakan penalti untuk gol ketiga selepas dua lagi jaringan dihasilkan oleh Curtis Jones dan Dominik Szoboszlai sekali gus membawa mereka mara ke pusingan kelima.
Lebih menggembirakan, ini adalah perlawanan domestik pertama sejak 1 November lalu di mana Salah berjaya mencipta umpanan jaringan, mendapatkan sepakan penalti dan melakukan jaringan dalam satu perlawanan.
Bagaimanapun, Slot lebih cenderung untuk memuji kesungguhan Salah melakukan tugas ketika pasukan kehilangan bola serta mampu bermain secara berpasukan berbanding sebelum dia ke saingan Piala Negara-Negara Afrika.
“Dia bukan sahaja menjaringkan gol, tetapi mencipta umpanan menerusi kaki kanan. Saya fikir sangat menarik untuk melihat Salah menjadi salah seorang penjaring gol dan dia juga sangat berperanan menghasilkan bantuan jaringan.
“Apa yang positif adalah melihat cara dia mendapatkan kedudukan dan bersaing ketika pasukan kehilangan bola. Dia telah melakukannya ketika kami menentang Manchester City dan Sunderland sebelum ini,” katanya.
Mengulas mengenai perlawanan berkenaan, Slot mengakui sangat teruja melihat gol-gol yang dihasilkan oleh pasukannya dan mengakui jaringan kedua menerusi Szoboszlai adalah paling sempurna.
Kemenangan tersebut sangat penting buat The Reds untuk terus menghidupkan peluang memburu trofi musim ini selain mula merapatkan jurang untuk meraih slot automatik ke Liga Juara-Juara musim depan. – AGENSI














