RAWANG – Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat di sini menangguhkan perbicaraan pertama pengesahan lafaz rujuk usahawan, Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red dengan bekas isterinya yang juga penyanyi Adira Suhaimi pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Menurut peguam syarie yang mewakili Red iaitu Muhammad Akmal Amzan, pihaknya selaku plaintif dimaklumkan pihak mahkamah bahawa penangguhan tersebut disebabkan hakim mempunyai urusan lain.
“Pihak kami mendapat e-mel daripada mahkamah, hakim ada urusan penting lain dan perbicaraan perlu ditangguhkan.
Setakat ini tarikh perbicaraan seterusnya belum ditetapkan dan memerlukan juga perbincangan antara peguam.
“Kedua-dua pihak juga sudah sedia maklum mengenai penangguhan kes hari ini,” katanya kepada Kosmo! Online, hari ini.
Dalam pada itu, dia memberitahu perbicaraan kes tersebut juga masih akan terus dijalankan secara tertutup.
“Antara sebab bicara dilakukan secara tertutup adalah atas permintaan pihak Red sendiri dan dipersetujui Adira.
Mungkin ada hal-hal peribadi yang perlu dielakkan daripada disebarkan dan mahkamah membenarkan permohonan tersebut.
“Setakat ini perbicaraan masih kekal secara tertutup melainkan ada perintah baharu daripada hakim,” jelasnya.
Terdahulu, Red pada 20 Januari lalu menegaskan tindakannya memfailkan pengesahan lafaz rujuk bukan disebabkan masih berharap dapat kembali kepada bekas isterinya.
Ujarnya, permohonan tersebut bagi memastikan sama ada lafaz rujuk yang berlaku sah mengikut hukum atau sebaliknya selain menepis dakwaan dirinya ‘gila talak’.
Sementara, Adira pula menafikan dakwaan berlaku lafaz rujuk dengan Red yang didakwa berlaku pada Mei 2024.
Perkara tersebut dimaklumkan peguam syarie Nor Saidah Zakaria yang mewakili Adira selain menegaskan pengesahan lafaz rujuk yang didakwa berlaku secara lisan itu tidak diketahui selebriti itu selaku defendan.
Sebelum itu, Red memfailkan pengesahan rujuk pada Disember tahun lalu.
Untuk rekod, Red dan Adira mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 namun perkahwinan berakhir dengan perceraian pada 24 April 2024.
Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob, 3. – KOSMO! ONLINE














