KUALA TERENGGANU – Seorang pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) warga asing dikhuatiri lemas dipercayai ketika mandi di Pantai Batu Burok di sini hari ini.
Mangsa, Sithu Moe Lwin,18, yang merupakan warga Myanmar dikatakan dihanyutkan ombak besar di pantai peranginan terkenal tersebut pada pukul 12.30 tengah hari.
Difahamkan Moe Lwin yang belajar di sebuah IPTS di Kuala Lumpur berkelah di Pantai Batu Burok dengan tiga rakannya yang juga warga asing.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor yang dihubungi mengesahkan kejadian lemas berkenaan.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat sedang giat dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. – KOSMO! ONLINE














