LONDON – Sebuah pawagam yang terbiar lebih lima tahun di Britain terbakar, memaksa penduduk yang tinggal berhampiran bangunan itu dipindahkan, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Pawagam Odeon itu terletak di St George’s Place, Canterbury.
Lebih 60 anggota dan 15 jentera bomba dikerah ke lokasi kejadian sekitar pukul 2 petang (waktu tempatan) untuk memadamkan api di samping memindahkan penduduk ke tempat selamat.
Majlis Bandar Raya Canterbury telah mendirikan khemah-khemah sementara untuk menempatkan penduduk yang terjejas akibat kebakaran besar itu.
Rakaman video kejadian menunjukkan pawagam Odeon yang tidak lagi beroperasi itu dijilat api dan mengeluarkan asap tebal ke udara.
Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Kent (KFRS) menasihati orang ramai untuk menutup tingkap dan pintu bagi mengelakkan asap daripada masuk ke dalam rumah mereka.
“Beberapa bahagian di St George’s Place dan Dover Street masih ditutup (setakat semalam) dan sila mengelakkan laluan ini sementara usaha memadam kebakaran dijalankan.
“Punca kebakaran masih belum diketahui,” kata seorang jurucakap KRFS.
Pawagam Odean itu dibuka kepada orang ramai pada 1933 sebelum dikosongkan sejak Mac 2020 berikutan pandemik COVID-19. – AGENSI














