PETALING JAYA – Beberapa laluan utama di Lembah Klang lengang dan lancar hari ini berikutan ramai warga kota bercuti panjang sempena Tahun Baharu Cina dan cuti sekolah minggu ini.
Tinjauan di media sosial mendapati orang ramai berkongsi pengalaman teruja apabila perjalanan ke tempat kerja menjadi lebih singkat berbanding biasa.
“Hanya 20 minit (perjalanan) Puchong ke Kuala Lumpur hari ini ya tuan-tuan. Sekian update (kemas kini),” kata pengguna Khalilhayy di Threads.
Seorang lagi pengguna dikenali sebagai Vx.chuuya turut berkongsi pengalaman serupa apabila perjalanannya dari Cheras ke Sunway hanya mengambil masa kira-kira 17 minit.
Pengguna Ilyasfuad pula memaklumkan, pemanduannya dari Petaling Jaya ke Shah Alam hanya mengambil masa 18 minit berbanding hari biasa yang terpaksa menempuh kesesakan teruk terutama pada waktu puncak.
“Petaling Jaya ke Shah Alam ambil masa 18 minit,” katanya.
Situasi sama turut dikongsi pengguna @Ieda.19 yang memaklumkan perjalanan dari Sentul ke Dutamas yang mengambil masa kurang daripada 15 minit.
“Sentul ke Dutamas tidak sampai 15 minit pun, sampai parking (tempat letak kereta) 7.45 pagi. Selalu 7.45 pagi masih dekat jalan,” ujarnya.
Selain itu, Noor Norina turut meluahkan rasa gembira apabila perjalanannya dari Serendah ke Kuala Lumpur hanya sekitar 20 minit. Anas pula memaklumkan perjalanannya dari Rawang ke Cheras mengambil masa sekitar 30 minit sahaja.
“Rawang to (ke) Cheras 30 minit saja. Alhamdulillah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














