TEMERLOH – Gara-gara sebuah kereta jenis Tesla yang hilang kawalan menyebabkan tiga buah kenderaan lain terlibat dalam kejadian kemalangan di Jalan Tengku Ismail di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Nasyim Bahron berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu kereta yang dipandu wanita berusia 31 tahun itu dalam perjalanan dari arah bandar Temerloh ke Mentakab.
“Kereta berkenaan kemudiannya hilang kawalan lalu melanggar sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang berada di hadapannya menyebabkan kereta Perodua Myvi bergerak ke depan dan melanggar motosikal yang diletakkan di kawasan berdekatan.
“Akibat pelanggaran ini kereta jenis Tesla kemudian melanggar sebuah lagi kereta jenis Perodua Viva yang diletakkan di kawasan berhampiran,”katanya di sini hari ini.
Katanya, akibat kemalangan pemandu Tesla dan pemandu Perodua Myvi serta tiga penumpang Perodua Myvi mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.
Dalam pada itu katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan giat dilakukan.
Katanya, berdasarkan siasatan awal kemalangan dipercayai berlaku akibat kecuaian pemandu kereta Tesla yang hilang kawalan semasa memandu menyebabkan kemalangan berlaku.- KOSMO! ONLINE
@nurulainhishamuddin Satu saat kecuaian orang lain, hampir ubah segalanya. Kemalangan di Temerloh #Kemalangan #JalanRaya #PandulahBerhemah #DriveSafe ♬ suara asli – putra Altaf 💫














