SAKHIR – Lewis Hamilton percaya Ferrari menemui petunjuk penting untuk jentera baharu mereka selepas menamatkan ujian pramusim Formula Satu (F1) di Bahrain dengan keputusan memberangsangkan.
Juara dunia tujuh kali itu melengkapkan 190 pusingan sepanjang sesi ujian di Litar Sakhir, sekali gus memberikan gambaran awal positif terhadap potensi jentera SF-26 menjelang musim baharu.
Hamilton yang mencatat masa ketiga terpantas keseluruhan menyifatkan ujian tersebut membantu pasukan memahami karakter sebenar jentera selain menemui aspek teknikal penting, khususnya berkaitan tayar.
“Secara keseluruhan ia minggu yang positif. Kami melengkapkan banyak pusingan dan menjalani keseluruhan program yang dirancang untuk mengumpul data penting serta memahami kereta dengan lebih mendalam,” katanya.
Menurut Hamilton, jentera baharu Ferrari menunjukkan prestasi meyakinkan, namun mengakui menuntut pemahaman teknikal lebih terperinci untuk mencapai prestasi optimum.
“SF-26 terasa baik secara umum, tetapi generasi kereta ini agak kompleks. Mencari julat operasi terbaik, terutama melibatkan tayar adalah kunci utama,” jelasnya.
Rakan sepasukan, Charles Leclerc turut memainkan peranan penting apabila melengkapkan 218 pusingan iaitu jumlah tertinggi dalam kalangan semua pemandu sepanjang ujian tersebut.
Perkembangan tersebut dilihat meningkatkan keyakinan Ferrari untuk kembali mencabar kejuaraan musim ini selepas menunjukkan tanda kemajuan sejak hari pertama ujian pramusim. – AGENSI














