SEPANG- Taktik licik sindiket menggunakan khidmat mel dan kurier untuk mengeksport ganja dan kokain bernilai lebih RM1.4 juta ke Eropah dengan mengikrar bungkusan sebagai hadiah tumpas apabila aktiviti itu berjaya dihidu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bulan lalu.
Pengarah Kastam Lapangan Terbang Antarabagsa Kuala Lumpur (KLIA), Zulkifli Muhammad berkata, berdasarkan siasatan, dadah berkenaan dipercayai bakal dieksport ke dua negara Eropah.
Beliau berkata, kes pertama direkodkan pada 5 Januari lalu membabitkan rampasan dua bungkusan mengandungi bunga ganja seberat 16.057 kilogram dengan anggaran nilai RM1.4 juta.
“Bagi kes kedua pula, satu bungkusan dadah jenis kokain seberat kira-kira 57 gram bernilai RM11,400 berjaya dirampas di lokasi sama pada 28 Januari lalu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, siasatan mendapati, sindiket bertindak mengikrar bungkusan itu sebagai hadiah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Zulkifli berkata, kedua-dua kes masih dalam siasatan dan pihaknya mendapati alamat yang tertera pada bungkusan dadah itu tidak lengkap, sekali gus sukar mengenal pasti identiti penghantar.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta minimum 12 sebatan jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE














