SHAH ALAM – Gaya bersahaja seorang lelaki menyamar sebagai pekerja sebelum mengumpil peti jualan dan melarikan wang tunai RM200 di gerai buah-buahan di dalam pasar raya di Setia Alam di sini memakan diri apabila aksinya dirakam televisyen litar tertutup (CCTV).
Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.18 pagi pada 12 Februari lalu ketika premis berkenaan masih lengang dan baharu memulakan operasi.
Aksi jenayah itu turut tular menerusi video berdurasi lebih seminit.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 6.05 petang hari sama daripada pemilik gerai terlibat.
Katanya, siasatan terhadap CCTV itu menunjukkan suspek berpakaian hitam, bertopi, penutup muka serta bersarung tangan telah masuk ke dalam gerai jualan tersebut.
“Lelaki itu kemudiannya mengumpil dan menyelongkar peti jualan gerai sebelum mencuri wang RM200.
“Suspek turut berpura-pura membuka gerai dan membuang sampah bagi mengaburi mata orang ramai seolah-olah pekerja sebenar sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
“Usaha mengesan suspek giat dilakukan dan mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Aznor Zainal di talian 017-3989155 bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














