PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan permohonan di mahkamah bagi mendapatkan perintah pelucuthakan harta alih yang berada di luar Malaysia atas penama Putera Turki Abdullah Al-Saud.
Permohonan tersebut difailkan mengikut Seksyen 56(1), 59 dan 61(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) pada Jumaat lalu.
Sumber berkata, harta itu membabitkan wang berjumlah keseluruhan AS$115,320,661.63 (RM450.6 juta) yang disimpan dalam beberapa akaun bank di Switzerland.
“Antara institusi kewangan terlibat ialah J.P. Morgan (Suisse) SA dan UBS Switzerland AG. Tindakan itu diambil selaras dengan peruntukan undang-undang yang memberi kuasa kepada suruhanjaya berkenaan untuk memohon pelucuthakan harta yang dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, tertakluk kepada perintah mahkamah,” katanya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan permohonan tersebut.
Beliau berkata, komitmen SPRM untuk memastikan sebarang hasil yang diperoleh melalui aktiviti menyalahi undang-undang akan diambil tindakan sewajarnya menurut lunas perundangan yang berkuat kuasa. – KOSMO! ONLINE














