PETALING JAYA – Seorang pengguna media sosial mendakwa terkejut apabila mendapati warga asing dengan mudah membeli minyak masak peket secara terbuka di sebuah pasar raya di Bangi.
Dakwaan itu dikongsikan di Threads bersama beberapa rakaman video yang memaparkan situasi di sebuah premis baru-baru ini.
Menurut pengguna itu, tindakan tersebut menimbulkan persoalan memandangkan minyak masak peket bersubsidi tertakluk kepada peraturan dan tidak dibenarkan dijual kepada warga asing.
“Sejak bila minyak peket boleh jual dekat warga asing? Lepas aku tegur dan rakam (video), barulah pekerja suruh letak semula minyak masak peket,” katanya.
Dia mendakwa, lelaki warga emas yang turut berada di lokasi gagal mendapatkan bekalan minyak masak peket kerana stok didakwa telah habis lebih awal.
“Pak cik dalam video pun nak beli minyak, tapi sudah habis sebab stok dah kena ‘sapu’ (ambil),” katanya.
Ujarnya, selepas kejadian itu, terdapat beberapa warga asing menunggu di luar premis dipercayai untuk mencuba nasib sekali lagi membeli minyak masak peket.
Dalam hantaran berasingan, dia mendakwa melihat sendiri taktik yang digunakan bagi mendapatkan barangan bersubsidi itu antaranya warga asing didakwa mengambil minyak masak peket dan meletakkan ke dalam troli individu lain sebelum menyerahkan wang untuk dibayar di kaunter.
“Ingat orang tak nampak, tapi semua dirakam,” katanya.
Dia menegaskan isu tersebut bukan melibatkan sentimen perkauman, sebaliknya salah guna subsidi dan hak rakyat Malaysia yang layak menerima manfaat berkenaan.
“Ini soal taktik salah guna subsidi dan hak rakyat yang betul-betul layak. Minyak masak peket untuk rakyat yang layak. Jangan salah guna,” katanya. – KOSMO! ONLINE














