MELAKA – Komitmen Scientex Heights Sdn. Bhd. dalam menyediakan perumahan mampu milik terus ditonjolkan menerusi projek baharu di Paya Rumput, yang melibatkan pembangunan sebanyak 7,400 unit rumah dua tingkat, di mana 3,700 daripadanya adalah Rumah Mampu Milik (RMM).
Pengarah Scientex Melaka, Datuk Alex Khaw berkata, projek seluas 528 ekar itu dirancang dengan teliti bagi memastikan harga ditawarkan kekal berpatutan tanpa menjejaskan kualiti pembinaan.
Menurutnya, projek itu merangkumi pelbagai kategori kediaman, termasuk rumah teres dua tingkat yang ditawarkan pada harga antara RM280,000 hingga RM328,000 seunit, manakala bagi Rumah Mampu Milik iaitu rumah kos sederhana rendah dan rumah pangsa kos rendah antara RM70,000 hingga RM250,000.
“Ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab kami untuk membantu rakyat memiliki rumah berkualiti pada harga yang berpatutan, terutama di kawasan strategik.
“Pembangunan itu bukan sahaja menyediakan kediaman, malah dijangka merancakkan ekonomi setempat serta mewujudkan komuniti baharu yang lengkap dengan kemudahan asas,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek
Scientex Melaka di Paya Rumput, di sini semalam.
Turut hadir merasmikan majlis adalah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Mengulas lanjut Alex Khaw berkata, projek berkenaan dijangka bermula selepas Hari Raya Aidilfitri dengan tempoh pembinaan sekitar 18 bulan bagi fasa pertama.
Tambah beliau, rumah yang ditawarkan adalah jenis dua tingkat bersaiz 18 kaki x 65 kaki dengan keluasan binaan kira-kira 1,334 kaki persegi yang direka bagi memenuhi keperluan keluarga moden.
“Reka bentuk tersebut memberi penekanan kepada keselesaan dan privasi penghuni, termasuk penyediaan ruang keluarga di tingkat atas.
“Projek ini adalah perancangan jangka panjang syarikat dalam membangunkan persekitaran kediaman berkualiti di Melaka, sekali gus menyokong aspirasi kerajaan negeri untuk meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat,” ujarnya.
Tambahnya, projek itu turut mengambil kira kemudahan awam seperti taman permainan, ruang rekreasi dan perancangan kawasan sekolah bagi memastikan komuniti setempat mempunyai kemudahan asas yang sempurna, di samping lokasi cuma 10 kilometer dari pusat bandar.
Katanya lagi, beliau optimis projek berkenaan akan mendapat sambutan yang baik kerana menawarkan peluang khususnya kepada golongan berpendapatan sederhana (M40) dan B40 untuk memiliki kediaman dan pelaburan yang menarik.
“Dengan pembangunan sebegini, bukan sahaja rakyat mendapat rumah impian, malah ekonomi setempat dapat dirancakkan melalui peluang pekerjaan dan perniagaan yang bakal wujud nanti,” ujarnya.
Dalam pada itu Ab. Rauf berkata, kerajaan negeri sentiasa menyambut baik inisiatif pemaju yang memberi penekanan kepada pembinaan rumah mampu milik.
Beliau menegaskan bahawa lebih 100 pemaju di Melaka kini bertindak sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan keyakinan Scientex memilih Melaka menunjukkan mereka menghargai kestabilan kerajaan negeri.
“Kita melihat keyakinan Scientex memilih Melaka kerana percaya kepada kestabilan kerajaan negeri yang mampu menjamin pulangan pelaburan. Mereka bukan sahaja memikirkan keuntungan tetapi juga kemudahan rakyat.
“Kerajaan negeri turut menetapkan dasar supaya sekurang-kurangnya 50 peratus daripada pembangunan perumahan baharu diperuntukkan kepada rumah mampu milik, dan Scientex telah mematuhi dasar ini dengan cemerlang,” katanya.














