KUALA LUMPUR – Tempoh 11 minit terakhir menyajikan cerita penuh makna buat Kuala Lumpur City yang mengesahkan kemenangan 2-1 ke atas Terengganu pada aksi kedua suku akhir Piala Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Kemenangan itu memastikan skuad The City Boy mara ke separuh akhir hasil kemenangan 3-2 secara agregat dan dijangka akan menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menang selesa 5-0 ke atas Melaka FC pada suku akhir pertama.
Ketua pasukan, Paulo Josue sekali lagi membuktikan dirinya layak digelar ‘Mr Kuala Lumpur’ selepas meledak gol kemenangan KL City sekali gus menafikan hasrat Terengganu mengheret aksi ke masa tambahan.
Terdahulu, Akhyar Rashid memastikan pelawat memulakan perlawanan dengan langkah kanan apabila berjaya membuka jaringan pada minit ke-21 dan kelebihan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Menyedari kelebihan bermain di tempat sendiri, KL City mula menambah kualiti ke dalam permainan di babak kedua dan berjaya memiliki beberapa peluang terbaik.
Bagaimanapun skuad kendalian Risto Vidakovic terpaksa menanti sehingga minit ke-78 untuk kembali menyamakan kedudukan hasil ledakan Victor Ruiz.
Jaringan itu nyata menambah semangat pemain KL City dan minit ke-89, Josue yang juga pemain naturalisasi Harimau Malaya berjaya menempatkan diri di kedudukan tepat bagi menghasilkan gol kemenangan. – KOSMO! ONLINE














