KUALA LUMPUR – Pihak polis mengesahkan perhimpunan #TangkapAzamBaki yang berlangsung dari kompleks Sogo hingga ke Dataran Merdeka petang tadi berakhir dengan aman tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, perhimpunan yang bermula kira-kira pukul 4 petang itu diadakan di hadapan kompleks Sogo sebelum peserta berarak secara aman menuju Bangunan Sultan Abdul Samad dan seterusnya berkumpul di Dataran Merdeka.
Menurutnya, pihak polis telah memudah cara serta mengawal perjalanan perhimpunan berkenaan, yang dianggarkan disertai kira-kira 200 orang termasuk penceramah dan peserta.
“Secara keseluruhannya perhimpunan aman ini berjalan dengan baik hasil kerjasama orang awam yang mematuhi arahan penguatkuasaan. Ketenteraman awam menjadi keutamaan dan keharmonian perlu dikekalkan,” katanya pada sidang akhbar selepas perhimpunan itu.
Tambah beliau, seramai 600 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur serta daerah berhampiran dikerahkan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran program.
Dalam masa sama, polis akan meneliti keseluruhan perjalanan perhimpunan tersebut bagi memastikan tiada unsur menyentuh isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja).
“Sekiranya terdapat sebarang pelanggaran, pihak polis akan membuka kertas siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan penganjur telah membuat pemakluman awal kepada pihak polis dan sesi libat urus turut diadakan bagi memastikan perhimpunan berlangsung secara teratur dan mematuhi undang-undang.- KOSMO! ONLINE














