KULIM – Seorang peniaga wanita ditahan selepas dipercayai membuat provokasi termasuk mengeluarkan kata-kata kesat, memaki dan menumbuk anggota polis di Balai Polis Sungai Kob, di sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 3.30 petang itu, suspek yang berusia 32 tahun didakwa menumbuk seorang anggota polis berpangkat lans koperal yang cuba menenangkannya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Tengku Mohd. Faisal Tengku Yeng berkata, suspek turut memaki seorang lagi anggota yang berpangkat koperal dan seterusnya menendang pintu kaunter aduan sehingga pecah.
“Pemeriksaan mendapati wanita itu tidak mempunyai rekod jenayah dan bebas mengambil bahan terlarang. Suspek direman tiga hari bermula semalam dan dijangka dituduh di Mahkamah Kulim esok di bawah Seksyen 90 Akta Polis 1967 serta Seksyen 332 dan 426 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














