KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan kebenaran pihak berkuasa sebelum menggunakan mercun sempena sambutan Tahun Baru Cina pada 17 Februari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, penggunaan mercun tanpa permit adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 7 dan 8 Akta Bahan Letupan.
Menurutnya, hanya mercun kecil yang dibenarkan seperti jenis ‘pop-pop’ atau letupan ringan, manakala mercun yang menghasilkan letupan kuat memerlukan kebenaran polis.
“Kita sering menerima aduan mercun dibakar di tengah malam hingga mengganggu ketenteraman awam, khususnya di kawasan perumahan,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan #TangkapAzamBaki di hadapan Dataran Merdeka.
Beliau berkata, polis akan meningkatkan rondaan dan pemantauan bagi membanteras penggunaan mercun haram, selain memberi amaran tangkapan boleh dibuat terhadap individu yang ingkar.
“Rayakan perayaan secara sederhana dan jangan menimbulkan gangguan kepada masyarakat lain,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya menerima banyak permohonan permit pembakaran mercun sempena perayaan dan semua permohonan diproses mengikut prosedur ditetapkan.- KOSMO! ONLINE.














