KUALA NERANG – Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut disyaki akibat lemas di sebuah kolam ikan di Kampung Perik, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 petang itu, mangsa, Ayyash Ahmad Sajid Ahmed dikejarkan ke Hospital Jitra, dekat sini sebelum meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Affzanisham Mohammad Sham berkata, ibu bapa mangsa menyatakan anak lelaki mereka pada awalnya bermain pasir di kawasan kolam ikan berhampiran rumah.
“Mereka kemudian menyedari mangsa tiada di lokasi tersebut sebelum mencarinya di kawasan sekitar.
“Seterusnya mereka menemui kasut mangsa terapung di dalam kolam ikan dan mendapati mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri disyaki akibat terjatuh ke dalam kolam berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa terus dikejarkan ke Hospital Jitra dan diberikan rawatan kecemasan sebelum mangsa meninggal dunia pada pukul 11 malam tadi.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk dibedah siasat dan punca kematian adalah akibat lemas,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














