PONTIAN – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO harus mempertimbang dengan serius sebarang permohonan mana-mana individu yang mahu kembali menyertai parti itu berdasarkan saranan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, gesaan itu susulan pemecatan besar-besaran yang dilakukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuklah melibatkan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
“Kita tak mahu ambil kesempatan daripada keberantakan parti lain, biarlah UMNO dan Barisan Nasional (BN) kuat atas kekuatan sendiri bukan atas apa yang berlaku kepada parti lawan.
“Walau bagaimanapun ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU), ada tiga istilah politik yang kali pertama didengar iaitu Rumah Bangsa, Musyawarah Nasional dan Kolaborasi Agong.
“Jadi pada saya, apa pun yang berlaku kita hendaklah berjiwa besar, jika mereka ingin bersama (kita) maka MKT perlu putuskan permohonan itu, ini keputusan MKT,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Bangunan Tambahan Hospital Pontian di Dataran Pontian di sini hari ini.
Kelmarin, Hamzah bersama 16 lagi kepimpinan parti itu diperingkat bahagian seluruh negara dipecat didakwa kerana melanggar Perlembagaan Bersatu.
Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, UMNO sentiasa bersikap terbuka untuk menerima semula mana-mana individu kembali menyertai parti itu termasuk Hamzah sekiranya beliau dipecat daripada Bersatu.-KOSMO! ONLINE














