KETUA jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun menegaskan kejayaan meraih pingat emas Sukan SEA Thailand 2025 bukan jaminan buat atlet meraih tempat automatik bagi menggalas cabaran pada Piala Dunia Sepak Takraw 2026, Mei depan.
Menurutnya, meskipun barisan pemain sedia ada telah membuktikan keupayaan di peringkat Asia Tenggara, namun penilaian menyeluruh terhadap tahap prestasi semasa akan dilakukan secara teliti sebelum senarai akhir dimuktamadkan.
Ujarnya, keputusan mengenai barisan pemain yang akan membawa cabaran negara bakal diputuskan menerusi mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) hujung bulan ini.
“Kita belum lagi menyenaraikan pemain-pemain yang akan memikul cabaran pada Piala Dunia nanti. Mungkin dalam beberapa bulan lagi baru kita akan memulakan proses pemilihan.
“Walaupun mereka muncul juara Sukan SEA, itu bukan tiket automatik untuk berada dalam pasukan kebangsaan.
“Mereka seharusnya meningkatkan lagi prestasi dari semasa ke semasa kerana pemain muda yang bakal dipanggil juga mempunyai aspirasi tinggi untuk mencabar kedudukan pemain senior,” katanya.
Ahmad Jais turut melihat persaingan sihat antara pemain berpengalaman dengan muka baharu sebagai satu elemen positif yang mampu melonjakkan lagi kualiti permainan skuad negara ke tahap lebih kompetitif.
Mengulas mengenai kehadiran tenaga baharu, Ahmad Jais mengesahkan enam hingga sembilan pemain kini berada dalam radar pemantauan berdasarkan prestasi konsisten mereka sepanjang musim 2025.
Pencapaian skuad negara tahun lalu dianggap sebagai satu detik bersejarah apabila mereka menamatkan kemarau 34 tahun bergelar juara regu berpasukan lelaki, selain turut membawa pulang satu lagi pingat emas menerusi acara regu.














