KUALA LUMPUR – Cubaan sekumpulan penunggang motosikal ‘menguasai’ jalan raya pada hujung minggu gagal apabila mereka dicekup dalam Operasi Bersepadu Sempena Op Selamat 25 Tahun Baharu Cina 2026 di beberapa lokasi panas sekitar ibu negara, awal pagi tadi.
Serbuan yang digerakkan secara taktikal itu dilaksanakan di beberapa laluan utama yang sering dijadikan ‘port’ berkumpul penunggang motosikal terutama pada hujung minggu, termasuk Jalan Tun Razak, Jalan Ipoh (hala Chow Kit), Jalan Ipoh (arah Sentul) dan Jalan Raja Laut.
Tinjauan Kosmo! mendapati keadaan menjadi kelam-kabut apabila sebahagian penunggang bertindak panik sebaik menyedari kehadiran pasukan operasi, malah ada yang sanggup memecut secara berbahaya sebelum meninggalkan motosikal dan melarikan diri.
Beberapa penunggang lain turut dikesan membuat pusingan-U secara mengejut untuk mengelak ditahan, namun gagal apabila disekat anggota penguat kuasa.
Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dari Setapak mengaku menunggang motosikal tanpa lesen serta menggunakan motosikal milik bapanya tanpa kebenaran.
“Saya cuma ikut kawan keluar malam minggu. Motosikal dulu pernah ubah suai, sekarang dah pasang balik standard. Ayah tak tahu saya keluar,” katanya.
Seorang lagi penunggang, Arsyad, 19, pula mengakui meminjam motosikal rakan walaupun menyedari kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran tidak sah dan tidak dipasang nombor plat hadapan.
“Sebelum ini motosikal saya pernah kena sita sebab lumba haram. Malam ini pinjam motor kawan saja untuk pusing-pusing,” katanya.
Operasi tersebut dilaksanakan bermula pukul 10 malam hingga 4 pagi dengan memberi tumpuan kepada kenderaan dan motosikal yang disyaki terlibat aktiviti merempit serta kenderaan diubah suai.
Operasi tersebut melibatkan kekuatan seramai 15 pegawai dan 85 anggota daripada JSPT Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Agensi Antidadah Kebangsaan. – KOSMO! ONLINE














