TUMPAT – Polis Kelantan akan membawa pulang wanita dikenali sebagai Luna dipercayai ketua sindiket penyeludupan dadah yang kini didakwa bersembunyi di Thailand.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pihaknya sudah mengenal pasti lokasi persembunyian wanita itu dan masih bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa negara jiran berhubung kes tersebut.
“Insya-Allah, kita akan bawa pulang wanita itu ke negara ini dalam masa terdekat hasil daripada kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand.
“Setakat ini, kita sudah mengenal pasti lokasi wanita itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Kempen Kesedaran dan Keselamatan Jalan Raya sempena Ops Selamat Tahun Baharu Cina 05/2026 di Pasir Pekan di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Kelantan dengan menahan tiga lelaki tempatan dan merampas 52 kilogram (kg) bunga ganja bernilai RM1.82 juta dalam dua serbuan di Kuala Krai pada 3 Januari lalu.
Dalang sindiket itu merupakan wanita berusia dalam lingkungan 30-an dikenali sebagai Luna yang dipercayai mempunyai dua kerakyatan dan bersembunyi di negara jiran.
Rampasan dadah itu hasil operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman selama empat bulan menerusi Ops Agas yang turut mendedahkan bunga ganja dirampas dipercayai untuk pasaran antarabangsa. – KOSMO! ONLINE














