MELAKA – Sebanyak 280 unit kediaman mampu milik bakal dibina menerusi Projek Program Residensi Rakyat (PRR) Paya Rumput di Taman Paya Emas di sini bagi membolehkan lebih ramai penduduk setempat memiliki rumah sendiri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin, berkata projek bernilai kira-kira RM80 juta itu telah diluluskan dan kini menunggu proses pembinaan.
Menurutnya, pembangunan berkenaan merupakan antara janji manifesto yang digariskan sebelum ini bagi menangani isu perumahan dalam kalangan penduduk, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Projek ini akan dilaksanakan di Taman Paya Emas dengan jumlah unit lebih kurang 280 unit dan ia merupakan kediaman bertingkat, bukan rumah jenis bertanah.
“Kita sudah ada Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong, PRR ini adalah penambahan daripada itu, jadi terima kasih kepada Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Melaka kerana telah sama-sama usahakan, ini adalah janji manifesto saya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-15,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penutup Karnival Demi Paya Rumput di Stadium Hang Jebat, di sini, semalam.
Tambahnya, projek itu diharap dapat mengurangkan masalah kekurangan rumah mampu milik selain memberi peluang kepada lebih ramai keluarga memiliki kediaman yang selesa.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan satu lagi projek PPR baharu di Bukit Katil yang melibatkan kira-kira 200 unit juga dijangka memulakan pembinaan dalam masa terdekat.
Katanya, pelaksanaan projek perumahan tersebut membuktikan komitmen berterusan dalam memastikan kebajikan rakyat, khususnya aspek kediaman, terus diberi perhatian.
“Usaha memperkasakan pembangunan di Paya Rumput tidak hanya tertumpu kepada perumahan, sebaliknya meliputi kemudahan infrastruktur dan kesejahteraan komuniti.
“Harapan kita supaya kawasan ini terus berkembang sebagai tempat tinggal yang selesa dan sejahtera untuk semua lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau turut memberitahu, pembangunan infrastruktur di kawasan itu juga diberi perhatian termasuk pembinaan menara telekomunikasi bagi meningkatkan capaian rangkaian komunikasi penduduk setempat.
Katanya, sejak dilantik sebagai wakil rakyat, sebanyak 34 struktur menara telekomunikasi telah beroperasi di sekitar Paya Rumput, manakala tiga lagi dalam pembinaan dengan nilai keseluruhan peruntukan kira-kira RM18.3 juta. – KOSMO! ONLINE














