KUALA LUMPUR – Perbuatan memiliki, menjual, membeli dan bermain mercun serta bunga api tanpa kebenaran sempena mana-mana perayaan termasuk sambutan Tahun Baharu Cina adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, hanya bunga api jenis Pop-Pop dan Happy Boom dibenarkan kerana tidak mengandungi bahan bakar yang boleh membahayakan keselamatan.
“Orang ramai diingatkan supaya tidak memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun serta bunga api selain daripada yang dibenarkan. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penjualan kedua-dua jenis bunga api tersebut masih memerlukan permit daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan dan perlu mematuhi spesifikasi yang ditetapkan pihak berkuasa.
Katanya, mereka yang memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun dan bunga api yang tidak dibenarkan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).
“Masyarakat turut diingatkan supaya tidak bermain mercun dan bunga api melebihi pukul 12 tengah malam kerana boleh mendatangkan kacau ganggu atau bahaya kepada orang awam.
“Sekiranya ingkar, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 366) serta Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207),” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan terus mematuhi prinsip kedaulatan undang-undang demi menjamin kesejahteraan dan keharmonian masyarakat serta mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. – KOSMO! ONLINE














