PETALING JAYA – Susulan perang maya antara peminat Korea Selatan dan Malaysia, pelakon Che Puan Sarimah tampil meluahkan rasa bangga menjadi sebahagian daripada komuniti Muslim di rantau Asia Tenggara walaupun lahir di luar negara.
Sarimah, 48, menyifatkan rupa paras yang dikurniakan sejak lahir adalah identiti sebenar yang perlu dihargai tanpa perlu diubah melalui prosedur kosmetik.
“Saya seorang wanita Muslim Asia Tenggara (SEA) yang bangga. Lahir di Ireland tetapi memilih untuk menetap di Asia Tenggara.
“Mempunyai darah keturunan Ireland, Melayu, Indonesia, Cina dan ramai rakan-rakan dari India, Filipina serta Thailand.
“Hanya kita yang mengenali diri kita sendiri. Bagaimana rupa paras kita sejak dari lahir dan kebanyakan daripada kita masih lagi kelihatan sama,” katanya dalam Threads.
Dalam hantaran tersebut, pelakon drama Lelaki Itu turut meletakkan tanda pagar ‘tidak kepada plastik’ dan ‘tidak kepada buli’ sebagai sokongan kepada kecantikan semula jadi.
Perbalahan berlaku apabila seorang netizen Korea Selatan menghadiri konsert kumpulan DAY6 di Malaysia sambil membawa kamera profesional yang sepatutnya tidak dibenarkan.
Peminat Malaysia tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut dan menegur kelakuan peminat Korea Selatan dalam aplikasi X.
Namun, peminat Korea Selatan mempertahankan diri mengatakan bahawa penggunaan kamera profesional dibenarkan di negara mereka.
Keadaan menjadi teruk apabila beberapa komen didakwa berunsur perkauman dilemparkan terhadap netizen Asia Tenggara.
Perang maya tersebut diteruskan sehingga netizen di Asia Tenggara mengutuk pembedahan plastik yang sangat popular di Korea Selatan. – KOSMO! ONLINE














