TEMERLOH – Sepasang suami isteri rentung apabila kereta jenis Proton Preve dinaiki mereka terbakar selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kereta jenis Porsche Cayenne di Jalan Industri Mentakab di sini tengah malam semalam
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihak bomba menerima panggilan kira-kira pukul 12.57 tengah malam mengenai kejadian kemalangan membabitkan kereta jenis Proton Preve dan Porsche Cayenne itu.
“Kenderaan Proton Preve musnah terbakar sepenuhnya mengakibatkan dua mangsa ditemukan rentung di dalam kenderaan tersebut manakala, kenderaan Porsche Cayenne tidak terbakar.
“Pemandu Porsche Cayenne dilaporkan telah melarikan diri daripada lokasi, meninggalkan seorang penumpang lelaki dewasa yang mengalami kecederaan,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya pasukan bomba melaksanakan operasi pemadaman ke atas kereta Proton Preve dengan menggunakan satu aliran salur bantu mula daripada tangki jentera.
Katanya, sebaik api berjaya dipadamkan sepenuhnya, anggota penyelamat menggunakan peralatan hidraulik bagi kerja-kerja pemotongan struktur kenderaan untuk mengeluarkan mangsa.
Jelasnya, kedua-dua mangsa yang rentung kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.- KOSMO! ONLINE














