fbpx
KEADAAN kereta dinaiki mangsa yang terbakar selepas terlibat kemalangan di Jalan Industri Mentakab di Temerloh tengah malam semalam.

Suami isteri rentung kereta dirempuh Porshe dipandu pekebun durian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TEMERLOH – Dipercayai gara-gara pemandu mabuk, nyawa sepasang suami isteri melayang selepas kereta jenis Proton Preve dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta jenis Porshe Cayenne di Kilometer 134 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan di sini hari ini.

Kejadian kemalangan tragis kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu menyaksikan pasangan suami isteri iaitu R. Mathiyalagan, 35, dan isterinya Sharmila, 34, yang telah enam tahun mendirikan rumah tangga rentung selepas terperangkap di dalam kereta mereka yang terbakar.

Difahamkan pasangan berkenaan belum mempunyai anak dan bekerja sebagai pelukis manakala pemandu Porshe Cayenne merupakan pekebun durian.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Nasyim Bahron berkata, kejadian berlaku ketika kereta jenis Proton Preve dinaiki pasangan suami isteri dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kuantan manakala kereta jenis Porshe Cayenne dari arah yang sama.

“Apabila sampai di lokasi kejadian kereta Porshe Cayenne berkenaan dipercayai telah hilang kawalan dan terlanggar bahagian belakang Proton Preve berkenaan.

“Akibat kemalangan tersebut kedua-dua kereta telah terbabas ke bahu jalan kiri dan Proton Preve berkenaan telah terbakar menyebabkan pemandu dan penumpang meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya pemandu Porshe Cayenne yang merupakan lelaki berusia 28 tahun hanya mengalami kecederaan luka di bahagian tangan.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 44 (1) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku akibat kecuaian pemandu kereta Porshe Cayenne yang disyaki memandu dalam keadaan mabuk dan melanggar belakang kereta jenis Proton Preve.

Beliau memberitahu permohonan reman ke atas pemandu kereta Porshe Cayenne diperolehi selama empat hari sehingga 17 Februari depan.

“Kedua-dua kenderaan yang terlibat akan ditahan bagi pemeriksaan Puspakom dan sampel darah dan urin pemandu Porshe Cayenne telah diambil untuk tujuan toksikologi dan menunggu pengesahan.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan pihak polis menyeru saksi saksi kejadian untuk turut tampil bagi membantu siasatan,”ujarnya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN