fbpx
Wan Ahmad Fayhsal dan Muhyiddin.

Saya telah nasihat, tegur Muhyiddin selama 3 tahun – Wan Ahmad Fayhsal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad menegaskan keputusan menolak kepimpinan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan lahir daripada emosi semata-mata.

Sebaliknya beliau berkata ia berpaksikan tuntutan agama dan amanah kepimpinan yang dipikul.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, dalam Islam, dasar amar ma’ruf nahi munkar menuntut umat menegur kemungkaran walaupun melibatkan pemimpin tertinggi, selain mengingatkan bahawa kesetiaan kepada pemimpin tidak boleh mengatasi ketaatan kepada Allah.

“Sebagai pimpinan tertinggi parti, saya telah menunaikan tanggungjawab saya menasihati dan menegur Tan Sri Muhyiddin secara tertutup dalam banyak pertemuan peribadi selama tiga tahun.

“Namun, beliau tetap berpegang kepada pendirian yang bercanggah dengan nilai Islam, khususnya dalam isu moral dan integriti kepimpinan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Ahmad Fayhsal mendakwa, Muhyiddin tidak menunjukkan keprihatinan terhadap pelakuan yang mencemar maruah parti, termasuk isu salah laku yang amat bertentangan dengan prinsip Islam.

“Lebih mengecewakan, beliau seolah-olah tidak mengambil peduli terhadap sensitiviti pengundi Melayu-Islam yang jelas menolak pemimpin berakhlak buruk.

“Keengganan beliau menegakkan prinsip ini telah melemahkan kekuatan dan persiapan Perikatan Nasional, khususnya jentera Pas yang amat menitikberatkan nilai agama dalam perjuangan politik,” katanya.

Semalam, Bersatu mengesahkan pemecatan keahlian Wan Ahmad Fayhsal, berkuat kuasa serta-merta.

Berdasarkan Notis Pemecatan Keahlian Bersatu bertarikh 13 Februari 2026, keputusan itu dibuat oleh Lembaga Disiplin parti selepas bersidang semalam.

Menurut notis berkenaan, Wan Ahmad Fayhsal didapati melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu sekali gus menyebabkan beliau dipecat daripada semua hak keahlian parti di bawah Fasal 22.5.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal turut mendakwa dari segi kepimpinan, Muhyiddin juga bersikap lepas tangan dan banyak urusan parti digerakkan oleh Datuk Seri Hamzah Zainuddin namun bagaimanapun segala nama dan pujian mahu disandarkan ke atas Muhyiddin.

“Ironinya, ramai yang kini bangkit menentang beliau adalah insan-insan yang dahulunya setia dan mempertahankan beliau sejak era UMNO.

“Namun, kesetiaan ada batasnya. Ketaatan kepada pemimpin tidak mutlak jika pemimpin itu menyimpang daripada jalan yang benar.

“Maka dalam keadaan ini, saya berpandangan tegas bahawa mempertahankan Tan Sri Muhyiddin atas nama parti atau perlembagaan semata-mata tidak lagi wajib, bahkan boleh menjerumuskan kita kepada dosa kerana mendiamkan kemungkaran,” katanya.

Dalam masa yang sama, Wan Ahmad Fayhsal berkata dirinya tidak menyesal dan sama sekali kecewa menerima nasib dan keputusan dipecat sebegini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN