BAGAN DATUK – Polis menahan 34 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dipercayai cuba keluar dari Malaysia secara haram dalam dua serbuan berasingan di Kampung Sungai Payung, Selekoh dekat Bagan Datuk.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, dalam serbuan pertama pada pukul 6.15 petang semalam, di kawasan semak berhampiran kebun kelapa sawit Sungai Payung, polis menahan 25 lelaki, iaitu 21 warga Indonesia dan empat warga Bangladesh.
Katanya, turut ditahan empat wanita warga Indonesia yang kesemua mereka berusia antara 18 hingga 55 tahun.
“Ketika serbuan dijalankan, kesemua warga asing itu sedang duduk berkumpul bersama beg pakaian, dipercayai cuba untuk diseludup pulang ke Indonesia menggunakan jalan laut.
“Dalam operasi itu, seorang tekong warga Indonesia berusia 44 tahun ditahan pada pukul 9.40 malam di lokasi sama selain seorang lelaki warga Indonesia berusia 33 tahun yang ditahan di sebuah hotel di Hutan Melintang.
“Siasatan mendapati, lelaki terbabit bertindak sebagai ‘transporter’. Dia dan tekong tersebut berperanan dalam menguruskan makanan dan pengangkutan migran,” katanya di Ipoh hari ini.
Menurut Noor Hisam, susulan tangkapan itu, serbuan susulan dijalankan di tepi jalan Kampung Sungai Payung pada pukul 8.56 pagi tadi.
Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya berjaya menahan lima orang warga Indonesia termasuk dua lelaki berusia lingkungan 20 hingga 36 tahun.
“34 orang migran itu ditahan reman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959 (Pindaan 2002) dan akan dibawa ke Pejabat Imigresen Ipoh untuk pengesahan identiti rekod keluar masuk.
“Bagi tekong dan transporter pula, mereka direman di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) selama 28 hari mulai hari ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














