JUARA bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT enggan mendabik dada setelah mengutip bekalan selesa apabila menang besar 5-0 ke atas Melaka FC pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia malam tadi.
Pengendali JDT, Xisco Munoz berkata, pemain skuad Harimau Selatan tidak boleh terlalu berpuas hati setelah perjalanan ke pentas akhir masih panjang yang menuntut komitmen 100 peratus di atas padang.
Menurutnya, pemain telah melakukan tugas yang baik biarpun berdepan kekangan masa untuk membuat persiapan bagi perlawanan tersebut.
“Kemenangan ini amat penting buat pasukan. Biarpun berjaya mendapat dua gol awal, kami sedikit bergelut pada separuh masa pertama dan beraksi lebih baik pada babak kedua.
“Walaupun meraih bekalan selesa, kami tetap akan hormati lawan dan memperagakan aksi terbaik pada perlawanan timbal balik nanti,” katanya. – KOSMO! ONLINE














