LIVERPOOL – Kejayaan di pentas Piala FA dianggap mampu menjadi ‘penawar’ buat Liverpool yang kini sudah boleh melupakan impian untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pengurus The Reds, Arne Slot sedar tiada kejayaan yang mampu dicapai tanpa kerja keras dan kini mahu mengelak daripada menerima kejutan besar pada aksi pusingan keempat menentang Brighton di Anfield awal pagi esok.
Bintang utama pasukan, Cody Gakpo gembira dengan kualiti yang dipamerkan The Reds ketika menewaskan Sunderland 1-0 kelmarin dan persembahan sama perlu dikekalkan ketika bertemu Brighton.
Namun, Gakpo juga sedar semua pemain harus tampil lebih tajam untuk memanfaatkan setiap peluang terhidang dan anggap ia menjadi elemen terpenting untuk memenangi perlawanan.
“Perlawanan yang cukup penting buat kami dan kami tidak boleh lagi dihimpit kecewa. Seperti tiada jalan lain, kami perlu beri segala-galanya dan pastikan perlawanan akan berpihak kepada Liverpool,” katanya.
The Reds kini memburu kejuaraan Piala FA buat kali kesembilan di mana kali terakhir pasukan itu muncul juara pertandingan berkenaan adalah pada 2022 yang turut menyaksikan penantian 16 tahun mereka terlerai.
Ketika itu, Liverpool menewaskan Chelsea 6-5 pada penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan. – AGENSI














