LONDON – Pengurus Chelsea, Liam Rosenior memuji mentaliti luar biasa barisan pemain selepas menewaskan Hull City 4-0 dalam aksi pusingan keempat Piala FA di tempat lawan, awal pagi tadi.
Pada perlawanan itu, skuad The Blues tidak mempunyai masalah untuk mengesahkan kemaraan pusingan 16 terbaik hasil jaringan hatrik Pedro Neto dan satu lagi gol sumbangan Estevao.
Rosenior mengakui kemenangan tersebut dalah hasil kerja keras berpasukan dan tidak wajar pujian diberikan kepada Neto sahaja walaupun pemain antarabangsa Portugal itu pamerkan aksi dalam kelas tersendiri.
“Saya bangga dengan sikap pemain terutama pada separuh masa pertama. Ini bukan perlawanan mudah kerana Hull sedang berada dalam momentum baik dalam saingan Liga Kejuaraan.
“Pujian wajar diberikan kepada mentaliti pemain yang fokus sepanjang perlawanan tetapi masih banyak kelemahan perlu diperbaiki.
“Mengenai Neto, tiada apa lagi yang boleh saya katakan selain kagum dengan usahanya yang bekerja keras untuk meledak hatrik pertama dalam karier,” katanya. – AGENSI














