NEGERI Sembilan FC (NSFC) tidak mempunyai peluang kedua kecuali lebih matang untuk berdepan segala cabaran pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.
Walaupun tewas 0-1 pada perlawanan pertama, pengendali NSFC, Nidzam Jamil meminta barisan pemainnya tampil lebih agresif dan bersedia sepenuhnya menanti cabaran daripada Selangor.
“Ini adalah perlawanan piala dan kami masih ada 90 minit di sana (Stadium MBPJ). Jika kita rasa 90 minit itu sudah tidak ada, maknanya kita bukan atlet yang berjiwa besar.
“Kelab ini akan ke sana dengan jiwa yang besar. Kena yakin peluang masih ada dan saya tidak setuju jika katakan pintu sudah tertutup, malah saya percaya pemain juga akan berjuang.
“Kami akan hadapi 90 minit kedua dengan penuh positif. Kami tidak akan ke MBPJ dengan gembira sekadar muncul lapan terbaik sebaliknya kami ada cita-cita seperti Selangor untuk ke separuh akhir,” katanya.
Nidzam yang pernah melatih The Red Giants, mengakui tidak memiliki skuad besar untuk membolehkannya melakukan perubahan besar, namun percaya pemain sedia ada mampu menghasilkan satu keputusan terbaik.
“Saya boleh katakan kami perlu kekal positif dan kena pandang 90 minit selepas ini sebagai peluang untuk melunaskan apa yang kami hilang (aksi pertama),” katanya.














