SHAH ALAM – Kesalahan teknikal yang masih berulang seperti lampu brek rosak dan kegagalan memakai tali pinggang keselamatan kekal menjadi isu utama melibatkan bas ekspres dan persiaran.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, kelemahan dalam aspek itu membahayakan penumpang seterusnya meningkatkan risiko kemalangan pada waktu malam.
Katanya, berdasarkan rekod menunjukkan sebanyak 13,484 bas telah diperiksa membabitkan 11,575 bas ekspres dan 1,909 bas persiaran sepanjang tahun lalu.
“Hasilnya sebanyak 367 jenis kesalahan dikesan dengan 277 kenderaan telah dikenakan tindakan penguatkuasaan,” katanya pada sidang akhbar pelaksanaan Operasi Khas Tahun Baharu Cina di Terminal Seksyen 17 di sini, malam tadi.
Beliau menambah, JPJ turut mengesan kenderaan tanpa Lesen Kenderaan Motor (LKM), Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV), insurans tidak sah, tayar botak serta pemandu memandu secara berterusan di lorong kanan selain memberi tumpuan kepada peranti kawalan had laju (SLD).
Beliau turut menjelaskan, sepanjang tahun lalu juga seramai 30 penumpang dikompaun RM300 kerana gagal memakai tali pinggang keledar mengikut Kaedah 4 dan 4A Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978 (Pindaan 2008). – KOSMO! ONLINE














