PETALING JAYA – “Jangan malu rasa dulu masakan sendiri sebelum jual kepada pelanggan. Kalau anda penggemar kurang garam, tak semua orang begitu.”
Itu pesanan orang ramai kepada mereka yang pertama kali mencuba nasib berniaga di bazar Ramadan bagi memastikan makanan yang dijual benar-benar menepati cita rasa dan kualiti ditetapkan.
Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati ramai peniaga baharu mengambil peluang bulan Ramadan untuk menjana pendapatan sampingan.
“Tahun ini insya-Allah kami akan kali pertama masuk bazar Ramadan jual nasi berlauk. Selama ini tak ada keberanian nak berniaga, moga menjadi tahun pertama ini. Jemput datang nanti orang Shah Alam, lokasi akan dimaklumkan,” kongsi seorang peniaga.
Bagaimanapun, hantaran wanita itu dipenuhi komen orang ramai yang mengingatkan para peniaga untuk semak kualiti masakan masing-masing.
“Kak, sekadar pesanan…minta ahli keluarga dan jiran rasa dulu lauk-lauk yang akan dijual nanti, minta mereka komen jujur,” pesan Asyikin.
“Tak semua yang tahu masak dia pandai masak, akak buat sukatan siap-siap masakan akak, nanti puasa tak boleh nak rasa. Pengalaman saya masakan berlauk di bazar semua terlebih masin, terlebih tawar, siap ada yang hangit tapi tetap dijual,” kata @Nolylyn70.
“Saya bukan nak halang rezeki puan berniaga, cuma ikhlas dalam berniaga, pasti ramai pelanggan. Jangan nak jual lauk semalam tak habis ya, sebab ramai peniaga bazar buat macam ini. Kecewa saya,” tegur Syazwan. – KOSMO! ONLINE














