KOTA BHARU – Seorang pewarna batik terkilan apabila tidak sempat menyelamatkan kira-kira 30 pasang kain batik tempahan pelanggan bernilai RM2,700 selepas rumah pusaka keluarganya terbakar dalam kejadian di Kampung Pulau Kundur di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.50 malam itu, Razita Omar, 48, dan keluarganya yang terdiri daripada suami dan tiga anak terselamat, namun rumah yang turut dijadikan tempat untuk mencanting warna batik hangus terbakar.
Razita berkata, kebakaran itu tercetus daripada litar pintas pada sistem pendawaian di dalam rumah sebelum dia bersama suami sebelum bergegas mencapai barangan berharga dan dokumen penting untuk keluar menyelamatkan diri.
Menurutnya, dia dan suami turut mencapai kunci kereta lalu menghidupkan enjin dua buah kereta manakala anak-anak pula sempat membawa keluar tiga motosikal ke lokasi selamat.
“Dalam keadaan kelam kabut, saya terlupa mengambil 30 pasang kain batik yang sudah ditempah pelanggan di dalam rumah.
“Saya mengambil upah daripada sebuah kilang batik untuk mewarna kain batik dan kerja-kerja itu dijalankan di rumah. Sehelai kain batik dijual pada harga RM90 dan jumlah keseluruhan kain yang hangus terbakar dianggarkan bernilai RM2,700,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Razita memberitahu, sebelum kejadian, dia dan suami sedang berehat di ruang tamu selepas makan malam sebelum terdengar beberapa kali bunyi letupan kecil.
Menurutnya, pada masa sama, sistem pendawaian di ruang tamu turut terbakar sebelum membakar rumah dengan sekelip mata.
“Saya buntu untuk menggantikan semula kain batik milik pelanggan. Saya akan berbincang dengan pemilik kilang batik untuk mengetahui jumlah kerugian sebenar keseluruhan kain batik yang terbakar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zuzuki Shafiee berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 9.56 malam sebelum anggota bomba bergegas ke lokasi kebakaran.
Menurutnya, anggota bomba mengambil masa hampir 30 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah bersebelahan.
“Punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian yang dialami mangsa masih dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














