SHAH ALAM – Cubaan pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk pengurus dan jurutera warga China meloloskan diri gagal selepas sebuah kilang di daerah ini digempur pihak berkuasa, semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 11.30 pagi itu, seorang pengurus dan 11 jurutera kilang cuba bersembunyi dan melarikan diri bagi mengelak pemeriksaan bersama lebih 300 warga asing lain.
Pengarah Imigresen negeri, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, Ops Mahir itu dijalankan pihaknya hasil maklumat awam berkaitan kewujudan PATI yang bekerja di kilang tersebut sejak tahun lalu.
Tegas beliau, ketika serbuan semua pekerja asing sedang melakukan agihan bateri mengikut kategori manakala warga China berada di pejabat pengurusan premis tersebut.
“Pemeriksaan dijalankan ke atas seramai 340 warga asing dan 94 daripada mereka berusia 22 hingga 62 tahun ditahan bagi tindakan lanjut. Mereka termasuk seorang individu berjawatan sebagai pengurus dan 11 jurutera lengkap berpakaian seragam kilang yang gagal meloloskan diri,” katanya hari ini.
Menurut Khairrul Aminus, penahanan itu melibatkan 72 lelaki warga Bangladesh, 10 lelaki India selain sembilan lelaki dan tiga warga China.
“Kesemua 94 warga asing yang ditahan didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 seperti gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa dan melanggar syarat pas.
“Seramai 12 warga China itu pula dipercayai bekerja tanpa permit kerja yang sah selepas gagal mengemukakan pas kerja atas nama majikan mereka. Semua kemasukan PATI, tempat tinggal dan gaji dipercayai diuruskan majikan,” jelasnya.- KOSMO! ONLINE














