fbpx
Azam Baki

Kabinet tubuh jawatankuasa khas siasat dakwaan terhadap Azam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA- Kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat pelbagai dakwaan yang dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Jurucakap kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Menurutnya, jawatankuasa khas itu akan diketuai Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang akan meneliti segala dakwaan secara terperinci sebelum laporan lengkap dibentangkan kepada Kabinet.

“Jemaah Menteri pada hari ini telah membincangkan isu yang melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Jemaah Menteri telah memutuskan supaya satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan perkara-perkara yang telah dibangkitkan berkait Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Setelah selesai siasatan, hasil dapatan akan dimaklumkan semula kepada Jemaah Menteri untuk sebarang tindakan susulan. Ini adalah dalam usaha untuk memastikan aspek ketelusan dan integriti dalam proses siasatan,” katanya tadi.

Ditanya mengenai desakan daripada beberapa Ahli Parlimen supaya Azam digantung tugas, Fahmi berkata, perkara tersebut tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

“Hal tersebut tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, tapi Jemaah Menteri putuskan satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan KSN, beliau akan melakukan siasatan, maka kita akan rujuk kepada KSN dan jawatankuasa untuk meneliti,” ujarnya.

Bagaimanapun, menurut Fahmi, sebarang tempoh masa bagi menyiapkan siasatan itu perlu dirujuk terus kepada KSN. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN